Kalau ada sumur diladang,
Boleh kita menumpang mandi,
Kalau ada umur yang panjang,
Boleh kita berjumpa lagi.
Boleh kita menumpang mandi,
Kalau ada umur yang panjang,
Boleh kita berjumpa lagi.
…………Pantun pusaka Melayu yang tidak pernah ku temui penciptanya………
Kabus
pagi masih menyelubungi pemandangan. Suhunya amat dingin sekali, di
dalam raga plastik merah, emak telah meletakkan beras, garam, belacan,
gula, dan nasi goreng. Ayah telah lama pergi menyusuri denai bersama
sebilah parang. Dalam dingin subuh dan embun membelit kaki, ayah perlu
sampai ke sawah yang terletak hampir empat kilometer dari rumah. Ayah
perlu sampai ke sawah sebelum burung ciak bangun. Kalau tidak padi
bendang kami hanya tinggal tangkai sahaja dibaham oleh burung-burung
ciak.
Kami tujuh beradik bangun berselang seli selepas dikejutkan oleh mak.
Dua orang adik kembar kami, Fadzil dan Fadzila amat susah untuk bangun
pagi. Adik perempuanku Nasriah dan Fauziah telah lama bersiap. Kami
mengambil barang masing-masing seperti yang telah dilakukan oleh kami
setiap hari. Abang dan mak berjalan dahulu. Aku selalu mengambil
bahagian belakang sekali. Dengan seluar pendek, kain bersilang di bahu
serta lastik tersangkut di leher, aku menyusuri mereka. Sejak dari kecil
lagi, aku jarang berbaju. Bagaikan itik pulang petang, kami berderet
menyusuri denai yang telah ayah lalui di awal subuh tadi.
“Mak, semalam Man ada peram buah cempedak dalam hutan tu.” , aku bersuara.
“Hang gi tengok, mana tahu kalau ada rezeki kita.” ,emak menyuruh aku pergi melihat buah cempedak tersebut.
“Mak…………..masak dah buah ni”.
“Ambik mari sini, nanti kita buat cucur. Ayah hang suka ni.” , emak menambah. Aku mengambil buah tersebut dan menyusuri mereka.
Dari jauh terdengar sayup-sayup suara ayah menghalau burung-burung ciak
yang hinggap di rumpun-rumpun padi yang sedang menguning. Sampai di
dangau, kami masing-masing memeriksa kaki sendiri. Ke semua kami tujuh
beradik sudah biasa dengan pacat dan lintah. Sudah tidak takut dan geli
lagi. Sambil itu emak mengemaskan dapur kayunya. Di hadapan dangau, air
parit mengalir hening dan jernih. Sejuknya hingga ke tulang hitam. Emak
memberikan Nasriah cerek hitam berarang yang tidak pernah di gosok untuk
mengambil air di parit. Setelah air kopi terhidang dalam cawan-cawan
yang retak, emak memanggil ayah untuk bersarapan.
“Heh…..!!! Budak-budak duk tunggu nak berkudap ni…!!!”.
Ayah
tidak menjawab panggilan emak. Sebaliknya ia menyusuri batas-batas
sawah balik ke dangau. Adik kembar dan adik bongsu aku mula dengan
aktiviti berebutnya.
“Jangan berebut, tak baik adik-beradik berebut depan rezeki ni”, emak menegur adik-adik. Dengan mulutnya dimuncungkan, ayah menghirup air kopi panas, sambil membelek-belek kakinya.
“Hangpa ambil cempedak di mana?” , ayah bersuara.
“Cempedak Tok Dohap, semalam Man peram, pagi ni gi tengok dah masak. Tu suruh Mek buat cucur”.
“Sedap….!!!! Pandai Mek buat cucur”,
ayah menambah lagi. Aku lihat adik perempuan ku, Nasriah yang lebih
terkenal dengan panggilan Mek oleh emak dan ayah tersengeh-sengeh malu
bila ayah memujinya.
Selesai sarapan kami membuat aktiviti tersendiri. Dengan diketuai oleh
abang, kami ke sungai di kepala bendang. Abang memang pandai memancing.
Aku dan adik-adik hanya menemani abang sahaja. Apabila tengah hari,
dengan beberapa ekor ikan yang ada di tangan dan terdengar suara mak
memanggil pulang. Dalam perjalanan pulang itu, selaku ketua, abang
mengarahkan kami mengutip sayur-sayuran untuk di bawa pulang ke dangau.
Pucuk paku, paku leweh, jantuh pisang, dan kulat sisir semuanya kami
sapu.
“Eh….. Apa banyak sangat ni”, emak menegur.
“Tu…!!! Abang yang suruh”, aku menjawab.
“Abang…!! Jom gi dangau Ki. Yong dengan Ayah Chu ada tadi”, aku mengajak abang pergi.
“Semua gi mandi dan jangan jale mana-mana lagi. Mak nak masak ni”, emak melarang kami pergi.
Abang
hanya melihat aku. Dengan bahasa badan yang hanya kami yang memahami,
abang memberi arahan supaya semua kami pergi mandi. Riuh rendah di
buatnya apabila tujuh beradik kami mandi sekali. Air parit ini tidaklah
dalam, tapi adik bongsu aku, Ridzuan tercungap-cungap juga minum air
seteguk dua di buatnya apabila si kembar Fadzil dan Fadzila membulinya.
“Awang……!! Akat adik tu… mak tengok dah lemas tu”, emak menjerit dari dapur. Abang mendukung Ridzuan dan membawa pulang ke dangau.
“Haaa….!!!! Sudah tu. Dah tengah hari ni” ,emak
memanggil kami semua pulang ke dangau. Kami semua menggigil kesejukan.
Angin gunung yang sejuk dan dingin berhembus lembut menyapa dingin
telinga kami. Bibir-bibir kami menjadi kebiru-biruan dan jari-jari
tangan kecut kesejukan. Betapa indahnya kampungku.
Dari jauh sayup-sayup terdengar Acu, Nyah, Yang dan Pak Ngah Meri
menghalau burung-burung ciak yang hinggap di rumpun-rumpun padi yang
sedang menguning. Sementara di dapur dangau kami, asap hitam berkelun
manyapa awan dek dapur kayu yang sedang mak gunakan.
Rebus pucuk paku dan air asam ikan seluang amat menyelerakan. Selepas
makan, adik perempuan ku, Nasriah dan Fauziah mengutip pinggan-pinggan
(yang sebenarnya hanyalah piring-piring sumbing dan mangkuk tempurung)
dan di bawa ke parit untuk dicuci. Anak-anak seluang bersaing jinak di
celah-celah tangan mengutip sisa-sisa nasi yang jatuh semasa
pinggan-pinggan sedang dicuci. Jinak dan tidak tercemar. Selesai makan
tengahari, semua aktiviti bagaikan tergendala.
Suara
Acu dan Nyah sayup-sayup terdengar dibawa angin, menghalau
burung-burung ciak yang berkepala putih yang hinggap berkawan di rumpun
padi. Kawanan burung ini sangat banyak, kadangkala mencecah ribuan ekor.
“Meee…..Awang…!!!! cuba gi tengok petak merbo, mak rasa burung banyak di sana tu?” emak bersuara.
“Baik mak” aku menjawab dan berlalu pergi bersama abang.
Kami
meniti batas parit yang becak di celah-celah rimbunan pokok-pokok
pisang awak yang subur menghijau. Bunyi lesong air yang aku buat
beberapa hari lalu untuk menghalau babi di waktu malam masih berdenting
tanpa henti. Sampai kami di hujung parit, aku ternampak sekawan beburung
yang sedang asyik mematuk biji-biji padi yang sedang menguning itu. Aku
mengambil batu dari poket dan menarik lastik perlahan-lahan, berdesup
batu lastik aku bila pelapiknya aku lepaskan. Serentak dengan itu juga
abang menjerit sekuat hatinya untuk mengejutkan dan menghalau beburung
itu.
Bagaikan
awan yang sedang berarak burung-burung itu terbang berkumpulan
meninggalkan rumpun padi yang sesetengahnya hanya tinggal tangkainya
sahaja. Aku dan Abang terus melepak di bawah pokok mempelam di tepi
banir kayu yang besar bagaikan gergasi. Aku tidak tahu berapa usia banir
kayu merbau ini. Seingat aku, banir ini telah berdiri gagah di sini
sejak aku belum lahir lagi.
Hari
semakin petang, redup bayangan pokok jenerih membuatkan aku bertambah
selesa di celah banir merbau ini. Beburung sudah mula berkurangan. Dari
dangau sayup-sayup terdengar adik-adik bermain sesama mereka. Tapi
selalunya jika aku dan Abang tiada, mak takkan benarkan mereka bermain
dan mandi di parit di hadapan dangau itu. Redup bayangan pokok jenerih
hampir menutupi sebahagian dari petak-petak sawah kami dan desiran angin
yang berhembus melewati batang tubuh ku, membuatkan aku menggigil
kesejukan. Aku perhatikan abang menggosok-gosokkan tangannya, bulu
romanya meremang menahan kesejukan.
“Awang…..Meee…..!! kelik. Hari dah petang ni”, emak memanggil kami pulang ke dangau.
“Yaaa….!!!!” Aku dan abang menjawab serentak.
Kami
berlarian meniti batas-batas parit yang becak berair itu pulang ke
dangau. Aku tergelincir. Gedebab……… bagaikan nangka busuk, aku
tertiarap. Cabang lastik yang tersangkut di leher ku telah menujah perut
.
“Aduh….!! Abang…!! Senak la!!!” aku memanggil abang yang tidak berapa jauh dari ku.
“Haaaa…!! Tu laa. Lari tu baik-baik la sikit. Heee tu bukannya kuat sangat” abangku merungut-rungut kecil.
Abang
mangangkat aku dari belakang. Abang bukanlah besar sangat. Badannya
kurus kering, kawan-kawan memanggilnya kecong*. Dengan kudrat yang ada
dia mengangkat aku sekuat hatinya. Aku masih lagi menangis dan dari
hidungku meleleh hingus yang keluar dan sesekali terjadi belon-belon
kecil di lubang hidung ku.
“Basuh baju tu..” abang menyuruh aku membasuh baju yang kotor lagi berselut.
“Mari abang bukak baju tu” abang menambah.
Tanpa
banyak bicara dengan badan yang terhinggut-hinggut menahan tangisan,
aku membiarkan abang membuka bajuku dan dikocak-kocakan di dalam air
parit yang jernih itu. Abang memerah baju basah itu dan diserahkan
semula kepadaku untuk di pakai. Aku menolak kerana tidak mahu memakai
baju yang basah dan amat sejuk sekali kerana angin dingin dari gunung
semakin galak bertiup kencang. Dinginnya sehingga menusup ke dalam
rongga tubuhku.
Sampai
di dangau, emak dan adik-adik telah siap untuk pulang. Ayah sedang
mandi di parit sambil mencuci tajak dan cangkul yang digunakan tadi
untuk menebas batas-batas sawah. Selesai mandi, ayah menyimpan tajak dan
cangkulnya di celah-celah rimbunan pohon-pohon pisang di tepi kali.
Hari semakin redup. Sesekali terdengar batuk-batuk kecil yang aku kenali
suaranya.
Seperti
biasa, adik-adik berjalan dahulu dengan diikuti emak, abang, aku dan
ayah. Sampai di bawah pokok jenerih mak menyelak-nyelak rumput yang
panjang itu untuk mencari kasut yang disorokkan di situ semasa di awal
pagi tadi. Setelah selesai semuanya kami menyambung perjalanan.
“Mak….takut la, nak lalu titi ni” , Nasriah dan Fauziah bersuara.
“Awang…pegang tangan adik tu” , mak mengarahkan abang supaya memimpin tangan Nasriah.
Secara
tidak langsung aku memegang tangan Fauziah dan memimpinnya untuk
menyeberang parit dalam yang memisahkan antara kebun getah Ki Ali dengan
bendang Mak. Ayah mendukung si kembar dan mak pula mendukung Ridzuan
sementara raga barang-barang mak menjunjung di atas kepala. Sampai di
dangau Ki, kami nampak Yong Muzi dan Ayah Cu sedang menunggu kami di
atas batang kayu ara yang tumbang. Aku terkial-kial untuk melangkah
batang ara yang tumbang itu. Ayah Cu dan Yong Muzi ketawa sakan melihat
kami.
“Sibi….angkat anak tu” Ki bersuara dari tangga dangau.
“Haaa..jom laa mek dulu” Ayah Cu menyuruh mak berjalan dulu.
Sambil
mengangkat kami seorang demi seorang untuk melepasi batang ara yang
tumbang setinggi paras kepala kami tu, Ayah Cu tersenyum melihat gelagat
kami, dengan tangan yang dikilas kebelakang. Ki mengekori kami
berderetan melewati lorong-lorong kecil di dalam kebun getah yang tidak
terbela semak dan menyeramkan. Sesekali terdengar ayah dan Ki berbual
bual kecil.
“Pak Kecik….oooo Pak Kecik, Cek Andak tak mari ke pagi tadi” ,emak bertanya kepada Ki.
“Tak… “ jawab Ki pendek.
“Emak sakit kepala pagi tadi” ,Ayah Cu pula menambah.
Dalam
kami asyik berbual tu, tidak sedar rupanya kami telah sampai di pinggir
kampung. Kami melewati jambatan kayu Tok Yakob. Dari atas jambatan itu
aku ternampak ikan puyu dan sepat ronggeng asyik bekejar-kejaran. Dari
air sawah yang jernih itu, sang haruan sebesar lengan sedang menanti
masa dan ketikanya untuk menyambar anak-anak puyu dan sepat untuk
dibahamnya.
“Besornya ruee tu”, Ayah Cu menegur haruan yang sebesar lengan itu.
“Haaaaa laa...........” Yong Muzi menambah.
Dengan
siripnya yang digerakkan perlahan-lahan haruan besar itu bergerak
menuju ke muka telaga di tepi sawah. Anak-anak menerung yang baru tumbuh
dan tunggul-tunggul padi yang berderetan, ternampak dengan jelas
gelagat ikan-ikan, katak dan ketam merayap-rayap di dasar sawah.
Di
ufuk barat matahari telah condong benar, tinggal segalah lagi untuk
tenggelam ke semuanya, sedangkan kami baru sampai di hadapan rumah Pak
Teh. Pak Cu Mail dan Pak Uda E telah bersiap-siap untuk ke surau. Pak
Long Chee sedang mendaki bukit untuk balik ke rumahnya yang terletak
sebaris dengan rumah Pak Teh.
“Dari mana tu Chee” , emak menyapa Pak Long Chee
“Dari kedai.., Mek.....” , Pak Long Chee menjawab
“Eh....Pak Kechik pun ada ke?” , Pak Long Chee menambah
“Haaa...kesie dengan bebudak ini, tu yang aku kelik sekali denge demo tu” , Ki memberi penjelasan.
موڠکين ݢامبر اين اونتوق کنڠن سساورڠ
|
Semua
mata adik-adik tertumpu ke dinding. Dengan tangan yang membelakangkan
pelita dan jari-jemari yang dilentukkan, maka terjadilah beberapa objek
yang menyerupai binatang dan sebagainya. Binatang yang selalu kami lukis
melalui bayang-bayang ini adalah kambing dan itik angsa. Abang dengan
hal sendiri. Mungkin ia merasakan yang dia terlalu dewasa untuk bermain
dengan kami yang masih dengan alam kanak-kanak itu.
Dari
dapur terbau aroma yang amat menyelerakan. Rupanya emak sedang
menggoreng kangkong dengan ikan bilis dan kacang panjang yang telah
dikutip oleh mak di kepala bendang tadi dibuat masak lemak juga dicampor
ikan bilis. Alangkah sedapnya masakan ibu. Sentuhan jari-jemarinya
menyediakan resepi yang tidak berbuku itu bisa menggamit perantau pulang
kerananya.
Nasriah
memang cekap didapur. Sesekali terdengar pinggan-pinggan dan piring
yang berlaga. Emak menegur Nasriah agar lebih berhati-hati. Nasriah
menyenduk nasi sementara Fauziah pula menyiapkan air celup tangan dan
gelas minuman. Fauziah mengisi air di dalam labu tanah. Bunyi air yang
masuk kedalam labu itu amat mengasikan. Dua talam hidangan telah siap.
Satu talam adalah untuk kami yang lelaki dan satu lagi untuk emak dan
adik-adik perempuan serta Ridzuan yang masih kecil.
Selesai
makan. Nasriah dan Fauziah mengutip pinggan dan membasuhnya. Emak
mengambil raga pinang dan berlalu ke muka pintu. Emak membuka pintu.
Bunyai daun pintu yang dibuka itu bagaikan bunyi dari rumpun buluh yang
bergeseran semasa angin kencang bertiup. Emak mengacip pinang kering
dengan kacip yang telah usang dan senget. Sekerunya telah tanggal dan
emak gantikan dengan paku yang dibengkokan. Emak mencalitkan kapur ke
daun sirih dan dimasukan ke dalam mulut perlahan-lahan. Bagaikan inang
di istana, limpahan cahaya bulan yang terkena diwajah mak, menampakan
keayuan wajah yang putih gebu itu adalah ibu ku.
Emak
merenung jauh kehadapan, melewati pohon-pohon rumbia dan hutan
mengkuang di suak berhampiran rumah Cu Salmah. Pinang kering didalam
mulutnya dikunyah perlahan-lahan, mungkin mak terkenangkan adik aku yang
telah pergi meninggalkan kami. Sebelum mak melahirkan kembar Fadzil dan
Fadzili, aku ada adik bernama Fauzi. Aku dan keluarga semua amat sayang
kepadanya. Semasa ayah membuat huma di Cerok Sembuk, kami sekeluarga
pindah ke sana. Ayah dirikan dangau dari kayu-kayu hutan dan
berdindingkan buluh.
Dangau
kami berhampiran dengan anak sungai yang mengalir dari gunung. Airnya
dingin dan jernih hingga tak terkata. Padi huma kami amat subur. Emak
sangat rajin. Bermacam-macan tanaman ditanamnya sementara menanti padi
masak. Jagung, kacang pancang, kacang sayap, kacang sepat, timun batang
dan timun betik. Sebagai ketua keluarga, ayah amat mengambil berat hal
makan minum kami.
Sepanjang
anak sungai yang mengalir disebelah dangau kami itu, ada bermacam-macam
khazanah di dalamnya. Ada bemacam-macan ikan, siput dan sayur-sayuran
kampung yang hidup didalamnya. Ayah selalu mengajak kami memancing
bersamanya atau mengutip gondang dan pucuk cekeraung* disepanjang sungai
itu.
Dalam
keluarga kami, rasanya akulah yang paling rapat dengan mak. Pada suatu
hari, mak, ayah, abang dan aku berada dibukit seberang sungai, aku dan
abang mencari-cari timun betik masak dicelah-celah pokok padi yang
sedang mendapor besar*, ini kerana aromanya sesekali melintasi hidung
kami. Sementara Nasriah pula sedang mengemas dapur
dan Fauziah mengasuh Fauzi yang telah berjalan tetapi suka merangkak.
Sambil itu sesekali dari seberang sungai aku perhatikan mereka sedang
bermain masak-masak, Fauziah menyalakan api dengan ranting-ranting kayu
tapu* dihadapan dangau. Bagaikan orang dewasa, mereka menyiapkan dengan
tungkunya sekali.
Fauzi
menunggu ditepi api, sedang Fauziah mengutip daun-daun kayu dijadikan
“ikan” dan sayur-sayuran. Sedang Fauziah leka dengan “lauk-pauknya” ,
aku perhatikan api semakin besar. Dalam kabus pagi walau pun sudah jam
sebelas lebeh, emak menjerit dengan sekuat hati.
“Mek…..!!! Fauziah….!!! gi tengok adik tu….. mak rasa dia bakar timba….” mak menjerit.
Aku
dan abang berlarian dicelah-celah pokok padi yang tinggi separas kepala
kami. Abang sampai dahulu.. Di dangau, aku lihat timba plastik yang mak
gunakan untuk mengisi sabun itu telah tinggal sedikit sahaja lagi
dimamah api. Fauzi entah kemana. Mengikut kata Fauziah, dia bersembunyi
didalam rumpun padi dihadapan dangau. Susah jugalah untuk memujuknya.
Hanya Fauziah dan mak sahaja yang dapat melembutkan hatinya.
Ketika
padi mula hendak dituai, hampir kesemua kami dijangkiti demam yang amat
sangat. Keluarga dari kampung, Tok, Tok Yang Goleng, Pek Anjang dan
yang lain-lain menjemput kami balik ke rumah kami dikampung. Selepas
beberapa minggu, adik kesayangan ku pergi buat selama-lamanya. Sampai
kehari ini, aku tidak tahu apakah punca demam yang membawa maut itu dan
sampai ke hari ini juga, ayah semacam tidak mahu lagi menyebut perkataan
HUMA. Tok pula , mengharamkan kami membuat huma lagi. Ayah akur dengan
kehendak Tok.
Hari-hari
yang berlalu semakin jauh ditinggalkan. Emak masih lagi di muka pintu.
Mak melunjurkan kakinya. Matanya masih lagi tidak diubah dari pandangan.
Dalam kesamaran cahaya rang bulan itu aku terlihat cahaya pelita
berbalam-balam, kadang-kadang melenggok-lenggok kekiri dan kanan di tiup
bayu malam. Dalam waktu-waktu begini, jam sekitar 8:30 hingga ke 11:30
malam, hampir kesemua kanak-kanak telah melelapkan mata. Tetapi bagi
mereka yang hendak menoreh diawal pagi esok perlulah membuat persiapan.
“Mak nampak pelita di jemughee Teh Dolah he tu..!!?” mak muncungkan mulut kearah rumah Teh Dolah.
“Buke … mak..? tu rumah Cu Haseng…” aku menjawab.
Hampir
kesemua rumah di kampung ini ada pelantar yang dikenali dengan
“Jemuran”. Pelantar ini, selalunya dibuat dari batang-batang buluh atau
pun kayu hutan. Disini adalah tempat menjemur kulat, pisang salai, kain
baju basahan dan lain-lain lagi. Kepala tangga yang naik ke pelantar ini
selalunya melebihi lantai pelantar. Aku selalu memerhatikan Wah Sedi
dan Pak Pandak mengasah pisau penoreh getah di kepala tangga rumah Pan.
Wah Sedi menyimpan batu pengasah didalam tin susu yang berair.
Sebelah
petang, Wah Sedi akan bermain bola raga dengan kawan-kawannya di
belakang kedai Wa Hasan, dan apabila malam begini. Pak Pandak dan Wah
Sedi akan melabuhkan punggungnya kelantai buluh yang sejuk dan berlumut
itu untuk mengasah pisau penoreh getah. Tin susu yang penuh dengan batu
pengasah itu diletakan berhampiran dengannya. Pak Pandak akan mengambil
pisau penoreh dan diletakan di atas kepala tangga. Tangan kirinya
meraba-raba mencari batu pengasah yang sesui dan dimasukan dicelah-celah
pisau yang bengkok itu.
Sambil
bersiul-siul kecil dengan lagu “Salam Muhibah” batu pengasah disurung
dan ditarik dengan penuh berhati-hati. Dalam kesamaran cahaya pelita dan
rang bulan itu, ternampak pisau yang tajam dan berkilat. Pak Pandak
memegang pisau penoreh itu dan di potong beberapa helai rambutnya.
“Ehhh pisau ni dah nipis ni, kalau patah nanti tak dapat aku motong esouk” Pak Pandak mengomel sendirian.
Tiba-tiba “ehemmmmm”ayah
berbunyi. Aku rasa sengaja ayah berbunyi demikian supaya mak tersedar
dari lamunannya. Lama juga rasanya aku dan mak melayan perasaan di muka
pintu. Mak menyuruh aku menutup pintu. Aku mengubah raga pinang mak ke
ruang tengah rumah. Mak kedapur. Aku terdengar mak mengambil air dari
tempayan. Aku tahu, mak membasuh mukanya sebelum ia tidur. jam dinding
di rumah Tok Haman berbunyi sebanyak sepuluh kali. Ini menandakan tepat
jam sepuluh malam.
Dari
bawah bukit rumah aku terdengar alunan seruling bambu yang mendayu-dayu
dibawa angin. Merdu alunanya sehingga menusup kalbu, sayu dibawa angin
malam merentasi bukit dan lurah kampung ku ini.
“Haa… Tok Cu Seme hang tiup seruling tu” mak bersuara sambil menyapu-nyapu bedak sejuk sebelum tidur.
Aku
hanya terdiam dan tidak menjawab apa-apa. Tok Cu Seman adik kepada Tok
Ngah Sulaiman amat pandai meniup seruling. Aku ada juga belajar
meniupnya sesekali…. Dan hari ini aku telah mewarisi alunan tiupan
seruling bambu ini dari Tok Cu Seman, tapi tidaklah sebaik Tok Cu Seman.
Abang kepada Tok Ngah Sulaiman ialah Tok Wak Musa, mereka ini adalah
adik-beradik sesusu dengan mak aku. Suasana hening seketika. Diatas
salur air bumbung rumah aku terdengar tikus berkejaran. Cengkerik
berbunyi bersahutan, aku melayan fikiranku diatas tikar mengkuang lusuh
dan kepala beralaskan bantal kekabu tidak berbalut.
Dalam
samar cahaya pelita minyak, aku ternampak kelibat mak. Mak mengambil
kain selimut di atas rak kain yang diperbuat dari rotan berhampiran
dengan bilik Nasriah dan Fauziah. Aku berpura-pura tidur. Mak membuka
selimut dan melebarkanya, mak menyelimut abang dan selepas itu mak
menyelimut aku. Mak mengubah pelita di hujung kepala aku. Dengkuran
ayah semakin kuat dan aku tidak tahu bila masa aku tertidur. Semasa jam
di rumah Tok Haman berbunyi tujuh kali, aku sudah berada di beranda
rumah berselumbung dengan kain pelikat ayah.
Tiada
tanda-tanda hari akan hujan. Pandangan ku amat terbatas. Rumah Mak Teh
Lipah yang memisahkan rumah ku dan Marzuki tidak kelihatan. Kabus pagi
menyelubungi segenap kampung ku.
“Meeeee. Oh… Meee …!!!” mak memanggil ku.
“Ya…..!!!!” jawab ku pendek.
“Maghi tulung mak didapor sat…!” mak menambah.
Aku melangkah naik dari beranda melalui anjung rumah dan ke dapur. Mak memberi aku botol nescefe.
“Nah… ambilkan minyak ni. Mak nak buat nasi goreng” mak memberi botol nescefe yang berisi minyak.
Aku
mengambil botol tersebut dan mengambil sudu kecil. Bagaikan mengambil
agar-agar didalam cawan aku mengambil sedikit demi sedikit minyak masak
yang beku itu keluar dari botol nescefe. Kuali telah panas, setelah
ketul-ketul minyak dimasukan ke dalam kuali ianya mula cair sedikit demi
sedikit. Dalam setahun biasanya minyak masak akan beku di awal pagi
lima ke enam bulan. Ia itu di kala cuaca panas berangin dingin atau di
masa hujan musim tengkujuh. Pada masa ini, apabila kami berbual di awal
pagi, kabus akan keluar dari mulut kami. Ianya berlarutan sehingga jam
sembilan pagi.
Ayah
telah lama ke sawah. Dengan berbekalkan air kopi yang mak bekalkan di
dalam botol kicap, ayah sendirian meredah embun pagi selepas subuh tadi.
Hari ini, kami tidak kesawah lagi. Mak membangunkan adik-adik ku.
Dengan batok dan merenget-renget manja adik-adik kembar dan Ridzuan
bangun dan terus mendapatkan mak.
“Haaa….. gi bersugi dijemughe dulu” mak mengarahkan adik-adik membasuh muka.
“Tak mmboh…..” Ridzuan menjerit
“Kalu tak mmboh, jangan make” mak mengugut adik-adik ku.
Sebagai
kakak, Nasriah mendukung Ridzuan dan menarik adik-adik ku yang kembar
ke palantar buluh diruang dapur. Berbagi-bagai bunyi semasa adik-adik ku
membasuh muka.
“ Timah….oh.. Timah…” terdengar suara Acik memanggil mak.
“Yaaa..” jawab mak pendek.
Aku
membuka tingkap kecil di bawah rak pinggan pasang siap. Tingkap ini
separas lantai dan terletak di bawah rak pinggan yang ayah buat.
Tingkapnya kecil sahaja. Dari tingkap ini selalunya mak jadikan laluan
membawa masuk air dalam baldi yang dijunjung. Apabila tingkap dibuka,
aku lihat Acik telah siap dengan kain basahan dan membawa raga di
tangan. Acik memberi sepiring cucur pisang. Aku mengambilnya dan
diberikan kepada mak.
“Mika tak ke Kasai ke hari ini…” Acik bertanya kepada mak.
“Dak….., banyak sangat kain yang ndak dibasuh, esauk lusa bebudak dah nak masuk sekolah” mak bersuara.
“Haaa…kalu lagu tu tak pa lah…, aku nak ke Hemok ni…” Acik menjawab pendek.
Hari-hari
amat pantas berlalu. Cuti sekolah penggal kedua tidaklah panjang. Aku
masih berkelumbung dengan kain pelikat ayah. Adik-adik dan abang telah
siap untuk menjamah sarapan pagi. Mak membuat nasi goreng berlaukkan
sambal goreng. Nasriah menyediakan teh secawan seorang. Dalam cuaca
dingin ini, segala-galanya dingin. Cucur pisang yang Acik bagi sebentar
tadi pun telah sejuk. Dalam sekejap waktu sahaja, aku perhatikan
semuanya licin.
Setelah
bersarapan, mak minta aku dan abang keluarkan padi dari stor padi.
Beras dalam tin tinggal sedikit sahaja lagi. Mak amat perihatin tentang
beras. Hidup dikampung, lauk tidak penting, yang perlu ada, adalah
beras.
“Awang…Me…bukak rumah padi, ambit padi sebaku beso, mak nak jemo di padang Ki..” mak berteriak kuat.
“Haaaa…ni nak gi..? leeeeniiii” aku menjawab.
Aku
mengambil bakul rotan di atas para dapur. Dari tingkap anjung aku lihat
abang telah membuka stor padi. Padi ini adalah sisa padi bendang musim
sudah. Padi ‘Mat Candu’ ini nasinya sedap, sementara berasnya panjang
dan susah hendak patah, pokoknya pula tahan pelbagai cuaca dan susah
hendak tumbang walaupun ditiup angin kencang. Aku memberi bakul rotan
kepada abang yang sedia menanti di dalam stor padi. Abang mengaut padi
dengan menggunakan tempurung kelapa yang kami panggil cupak.
“Haaa…Awang…Me…dah siap ke..” emak bertanya kepada kami.
“Dah…..” jawab abang pendek.
Aku lihat dalam stor, debu miang padi berterbangan. Abang menggaru-garu tangan dan badannya.
“Haaa…kalu dah siap, bawak bakul tu kesini…” mak mengarahkan kepada kami.
Aku
tidak menjawab apa-apa. Abang mengangkat bakul padi itu dan diletakkan
di atas kepala aku. Aku menjunjung bakul itu dan diserahkan kepada mak
yang sedang berdiri di tangga beranda sambil mengepit tikar usang di
bawah ketiak kanan. Dengan sekali angkat sahaja, bakul berisi padi itu
telah berpindah di atas kepala mak. Adik-adik berderet mengikut di
belakang mak. Kami melalui di bawah pokok limau bali Ki. Aku
mendongak-dongak ke atas pokok limau bali itu. Buahnya semuanya buruk di
makan ulat. Mak telah bentangkan tikar. Adik-adik bermain di bawah
rumah buruk yang sangat aku takut bila tiba waktu malam.
Matahari
terang benderang. Mak menuangkan padi diatas tikar, selepas itu mak
mengais-ngaiskannya sehingga semua permukaan tikar tadi ditutupi dengan
biji-biji padi. Padi sebakul ini tidaklah banyak, di anggarkan lebih
kurang empat gantang sahaja.
“Timah….oh Timah…mike menjemo ke..?” Pe memanggil-manggil mak dengan loghat orang Kg. Beng
“Haa…laa.., Cik Andak.. beras habis langsung..” jawab mak .
“Bebudak ade ke nak menunggunye…” Pe bertanya lagi.
“Ada….bebudak tak kemana haghi ni..”mak menambah
“Haa.. te… kok bebudak ade, aku rase nak menjemo juge” Pe menjawab.
Dengan
langkah yang diperbesarkan, Pe menuju kerumahnya. Sesekali dia meludah
sepanjang perjalanan itu. Air pinang yang diludahnya merah menyala,
Bibir mulutnya juga merah dengan air pinang. Walau pun telah dimamah
usia tapi masih terserlah yang Pe suatu ketika dulu adalah seorang
wanita yang cantik, raut wajah dan kulitnya yang putih melepak itu
menjadi saksi yang Pe adalah seorang wanita yang menjadi kegilaan remaja
semasa mudanya dahulu. Sesekali terdengar Pe menghalau ayam yang mula
mengerumuninya semasa Pe membuka gebuk padinya.
“Awang….Me…maghi tunggu padi ni…mak nak tulung Pe miko sat” mak memanggil aku dan abang.
Mak
membentang tikar Pe disebelah padi kami. Ayam semakin banyak adik-adik
ku menghalau ayam-ayam ini pergi jauh. Pe munuangkan padi dari
bakulnya. Miang padi berterbangan. Emak dan Pee merata-ratakan padi yang
baru dituangkan di atas tikar itu.
“Berapa gantang ni Cik Andak...”Mak bertanya pada Pee
“Lime gantang aje..., itu pun idak ku tahu sape nak menumbuknye..” Pe manambah.
Hari
semakin panas. Adik-adik dan abang berteduh di bawah rumah buruk yang
amat aku takuti di waktu malam itu. Sedang aku bermain-main dengan
adik-adik, tiba-tiba aku terjumpa cermin pecah di bawah tanah-tanah yang
berdebu. Aku tersenyum sendirian. Aku tahu abang sedang memerhatikan
aku.
“Haa…tu… apo senyum-senyum tu….” Abang menyergah aku.
“Laa… bakpo..saja orang nak main-main dengan panas*…..” aku menjawab.
“Hae…ingat abang tak tahu…hae nak main dengan beruk Ayah Cu..” abang memerangkap aku dengan soalan.
Aku
terkedu. Abang telah tahu tujuan aku, dengan bersahaja aku berlalu
pergi. Abang tidak membantah. Sambil aku menghalau ayam-ayam yang
mencuri-curi mematuk padi dari jemuran kami, aku telah sampai di penjuru
dapur rumah Ki. Aku nampak beruk kesayangan Ayah Cu dan Yong sedang
makan nasi sejuk yang Yong bari pagi tadi. Setelah melihat aku datang
kepadanya, cepat-cepat ianya memasukkan nasi ke dalam mulutnya sehingga
kedua-dua pipinya kembung membuncit.
Dengan
mulutnya yang sendat dengan nasi, beruk ini memuncungkan mulutnya
kepada aku. Aku tidaklah berani sangat dengan binatang ini. Aku pergi
seberapa rapat yang boleh dengannya. Aku melemparkan cermin pecah
selebar tapak tangan itu kepadanya. Bagai yang telah aku
duga….melompat-lompatlah beruk Ayah Cu bila mendapat cermin itu. Ia
bersandar ke pangkal batang jambu tempat beruk itu dirantai, ditenungnya
berkali-kali bayang-bayangnya di dalam cermin itu sanbil tangan yang
satu lagi meraba-raba dibelakang cermin dan sesekali ianya menunjukan
taringnya yang telah dipotong itu kepada aku. Aku ketawa melihat gelagat
beruk ini.
Sedang
aku asyik dengan gelagat beruk itu, tidak ku sedar rupanya telah ramai
kawan-kawan aku yang tumpang ketawa bersama-samaku. Seli anak Mail
Kelantan, Hole, Mat Niza, Jali, Muti, Zenia, Zi dan Marzuki. Kami ketawa
bagaikan nak rak bila beruk itu berguling-guling di atas tanah dan
memusing-musingkan cermin untuk mencari bayangnya sendiri. Seli memegang
tengkuk aku. Badannya yang gemuk dan berisi itu, mengah juga aku
dibuatnya, apabila dia mengoyang-goyangkan badan ku.
“Me… lama kita dak main porok*…” Seli seakan berbisik kepada aku.
“Haaa…laaaa..” Hole menyahut.
“O.K. .. petang ni kita main…” Zi pula manambah.
“Tadi semasa aku lalu dibawah pokok ase Ki…, aku nampak ada buah ase kecek..” aku berkata kepada mereka.
“Jum kita gi tengok…..” kata Jali Tok Yakob.
Kami
berderetan ke bawah pokok limau bali Ki. Adik-adikku masih menunggu
padi jemuran. Abang telah lesap entah ke mana. Tanpa disuruh Zi…..,
seperti biasa memanjat pokok limau bali itu sampai ke hujung dahan. Ia
meninjau-ninjau mencari buah limau bali yang kecil. Setelah pasti buah
dicari telah ditemui, digoncang-goncangnya dahan limau itu, maka
bertaburanlah buah-buah limau yang buruk dan yang kecil itu jatuh. Kami
mengumpul buah-buah yang buruk itu. Berpuluh-puluh biji limau yang kami
kumpul. Aku berlari ke rumah ku yang terletak beberapa meter sahaja
dari pokok limau bali Ki itu.
Dengan
pisau di tangan, aku datang kembali mendapatkan kawan-kawanku yang
telah berada di bawah rumah buruk. Adik-adikku dan Zania ada bersama.
Kami membelah buah-buah limau yang buruk itu. Mana yang baik kami kupas
dengan teliti. Kebanyakan buah ini bukanlah buruk kesemuanya. Mana-mana
yang buruk separuh kami buangkan dan kami ambil yang separuh lagi. Maka
beraya sakanlah kami makan buah limau bali yang manis itu. Manakala
yang kecil sebesar bola tenis aku menyimpanya untuk dijadikan bola pada
petang nanti.
Matahari
telah tinggi benar. Kami masing-masing meninggalkan kawasan rumah buruk
itu, yang tinggal hanyalah aku dan adik-adik kerana mak masih tidak
mengangkat padi jemurannya. Mak masih di sungai membasuh kain. Abang
entah ke mana.
“Me….Me….” Acu memanggil ku.
“Yaaa…Acu..” aku menjawab.
“Nah….ambil ni….” Acu memberi kami jagung rebus.
Maka
apa lagi berebutlah adik-adik mendapatkan jagung. Acu hanya tersenyum
melihat kami yang keriangan di bawah rumah buruk yang semakin usang itu.
Sedang kami asyik bemain-main itu, aku terlihat kelibat Awang Li dan
Awang E anak Tok Jenal. Awang E membawa lastik. Mereka hanya melihat
kami dan berlalu pergi. Adik perempuan ku Nasriah dan Fauziah asyik
dengan anak patung yang dibuat dari kertas.
“Mek….bawak adik-adik tu balik. Hari dah tinggi ni..” mak memanggil Nasriah pulang ke rumah.
“Mak padi ni mace mana….” Nasriah mengajukan kepada mak.
“Tak pa…bio Cik tunggu…..” mak bersuara lagi.
Maka
adik-adikku pun berderet balik ke rumah dan tinggallah aku keseorangan
menunggu padi. Aku mengambil beberapa puntung kayu dan beberapa biji
putik kelapa dan diletkakan di sisi ku. Rasanya telah lama benar aku
menunggu padi sendirian. Dengan gaya bersahaja, abang balik entah dari
mana.
“Me….mak kelik dak lagi…” abang bertanya kepada ku.
“Dah….”aku menjawab selamba.
“Mak tanya abang dak…” abang bertanya lagi.
“Dak…” aku menjawab.
Aku
melihat abang gembira dengan jawapan aku. Abang menyuruh aku pergi
mandi, sementara dia pula menunggu padi. Aku ke sungai sendirian. Sampai
disungai aku lihat Awang Li dan Awang E sedang mandi. Aku pun tumpang
mandi sekali. Selesai mandi aku pun balik ke rumah. Motorsikal ayah
telah ada di bawah rumah. Keadaan rumah sunyi sepi, suara adik-adik
tidak kedengaran. Dari dapur terdengar mak sedang menggoreng ikan, ayah
termenung di tepi tingkap kecil dapor. Nasriah sedang membasuh sisa
pinggan pagi tadi di ruang basuhan di dapur.
“Mak…adik gi mana mak…” aku bertanya kepada mak.
“Gi tunggu padi denge abang..” mak menjawab.
“Cik..mak kata boleh bekelah sambil tunggu padi..” Nasriah berkata pada ku.
“Ya..ke mak…?”aku mahu kepastian dari mak.
“Haaaa…..” mak menjawab pendek.
“Nanti..Cik bawak pinggan dulu…, lepas tu mak hatao lauk..” Nasriah menjelaskan.
Aku
gembira bukan kepalang. Aku menyusun pinggan-pinggan tin, bekas minuman
dan bergegas ke rumah buruk tempat kami berteduh semasa menunggu padi
jemuran. Abang duduk diatas timbunan kayu-kayu, sementara adik-adik
duduk di atas tikar usang yang telah Fauziah bentangkan. Nasriah
memanggil aku dari rumah. Aku berlari pulang. Nasriah memberi aku bekas
air dan mak pula membawa talam berisi lauk-lauk. Hari ini berselera
sungguh kami makan. Mak dan ayah makan berdua di rumah. Ketika kami
sedang makan tiba-tiba dari muka pintu rumah Acu….?
“ Me….oooooo….Me..?” Acu memanggil aku.
“Yaaa….” Aku menjawab.
“Ha..ni.. adik nak bekelah sekali denge mika ni…” Acu memberi tahu ku.
“Tak po..heh…maghi la..” aku memberi tahu Acu.
“Kosi-kosi laaaa…lauk tu.? Acu dah bubuh dale pinge adik tu..” Acu memberi tahu aku.
Aku
sememangnya telah tahu. Ibu saudara aku ni memang lokek sedikit.
Maklumlah adik bongsu mak aku. Semua dari kami makan dengan penuh
berselera. Zania anak kedua Acu sememangnya rapat dengan aku. Mek Loyah
membawa pinggan Zania dan diletakan di sebelah aku. Kami makan
bersama-sama. Hari semakin redup. Bayang-bayang rumah buruk telah
menutupi padi jemuran kami. Nasriah mengumpul pinggan-pinggan yang
berselerak diatas tikar. Fauziah menggulung tikar dan balik kerumah.
Aku
masih lagi berada dibawah rumah buruk. Ayam tiada lagi yang berani
mengacau dan mencuri-curi makan padi jemuran kami. Dari tangga dapur aku
melihat mak sedang menuruni tangga. Mak menutupi kepalanya dengan kain
batik. Sukar untuk dijelaskan bagaimana uniknya mak membalut kepala.
Kadang-kadang bila dilihat ianya bagaikan puteri Korea. Mak mengangkat
bucu tikar satu persatu, sehinggalah kesemua padi terkumpul ditengah
tikar. Aku membantu mak mengaut padi dengan cupak tempurung.
“Mak….Me nak gi main…?” aku minta keizinan dari mak.
“Gi…lah…” mak memberi kebenaran.
“Gi…tu..kelik cepat sikit…” mak menambah.
Aku
hanya mengangguk dan berlari pergi mengambil buah limau bali. Aku
masukan buah limau yang sebesar bola tenis itu kedalam poket dan terus
berlari kepadang reket* surau Tok Aji Nali.
“Me…bakpo..lambat sangat…” Adik Awang Pak Ngah Bahari bertanya pada ku.
“Tadi sayo tolong mak kaut padi..” aku menjawab.
Aku
mengeluarkan dua biji limau dari poket dan aku berikan kepada Merdi.
Buah limau itu dibaling-balingkanya ke tangga surau berpuluh-puluh kali,
sehinggalah buah limau itu menjadi lembut seakan-akan bola getah
tumpat. Kami membahagikan antara kami kepada dua kumpulan. Setelah
terbentuk dua pasukan, maka diundi kumpulan mana yang akan menuju botol
dahulu. Sedang kami asyik bermain itu, matahari telah condong kebarat.
Bayang-bayang lebih panjang dari objek, ini menandakan telah masuk waktu
asar.
Dengan
kayu ditangan, Tok Besar memalu ketuk-ketuk sebanyak empat kali. Kami
berhenti bermain sebentar. Dibawah surau ada pelantar berlantai papan.
Kami berehat di sini. Orang-orang tua yang sedang berehat disini beredar
satu persatu. Maka tinggallah kami yang kanak-kanak sahaja.
“Oiiii….sayo kelik dulu…” aku memberi tahu kawan-kawan.
“Bakpo awal sangat…” Zi bertanya kepada aku.
“Sayo nak tulung mak tumbuk padi…” aku menerangkan kepada kawan-kawan.
Semua
kawan-kawan seperti sudah mengerti. Aku beredar dari kawasan permainan.
Zi dan Marzuki juga ikut aku meninggalkan kawan-kawan yang lain. Dari
Bukit Nombor Satu* aku terdengar sayup-sayup suara ungka bersahutan.
“Kenjut……!!!!!! Kenjutkenjutkenjutkenjutkunjutkenjutjutjutjut….aun....aun...aun” suara ungka mendayu-dayu dibawa angin.
Suaranya
amat sayu dan pilu sekali. Langkah ku menjadi longlai, Kami tidak
bersuara apa-apa. Kami melewati kedai Wa Hasan, rumah Tok Aji Nali,
rumah Wa Hasan, rumah Pek Munah, rumah Tok Yid dan rumah buruk. Sampai
dirumah, aku lihat mak sedang menumbuk padi dengan ditemani olih
adik-adik. Aku amat kesian melihat adik-adik yang mengindik lesung kaki
yang ayah buat dari kayu yang di ambil dari tanah huma kami di Ceruk
Sembuk.
Mak
tersenyum bila melihat aku telah balik. Adik-adik juga keriangan. Aku,
Marzuki dan Zi mengambil alih mengindik lesung kaki yang terletak
dibawah rumah kami. Berdentum-dentamlah bunyi lesung itu dengan irama
tersendiri bila berlaga dengan antan yang dilepaskan. Semasa ini juga
mak menguis-nguiskan padi yang termuntah dari lesung masuk ke lesung
semula.
“Mek…maghi kuis padi ni…” mak memerintahkan Nasriah.
“Haaaaa….” Nasriah menjawab pendek.
Mak
megambil gadang dan dimasukan padi yang telah ditumbuk kedalamnya. Mak
menampi padi disudut halaman. Aku lihat ayam berkerumun disekeliling
mak. Semasa ditampi, ada antah dan melukut yang terkeluar dari gadang
mak. Inilah yang ditunggu-tunggu olih ayam-ayam itu.
“Cek…kercekkercekkercek. Cek….. kercekkercekkercek…” inilah irama yang terdengar semasa mak menampi.
Irama
ini, bagaikan telah sinonim dengan musim menuai. Aku kagum melihat mak.
Tabah, penyabar dan penyayang. Aku ingin menjadi sepertinya. Ibuku
seorang yang cantik. Kulitnya putih kuning. Didahinya terdapat tahi
lalat hidup sebesar kelingking kanak-kanak. Rambut mak bak mayang
mengurai. Panjang melepasi paras bahu. Mak selalu menyanggul kemas
rambutnya.
“Mek Timah…ohhhh..Mek Timah…” Mak Teh Lipah memanggil mak.
“Ottt….” Mak menyahut panggilan Mak Teh.
“Mikao menumbuk ke…” Mak Teh menambah lagi.
“Haaaa…..beghas habis lasung…” mak menjawab.
“Mikao kemano…” mak bertanya kepada Mak Teh Lipah.
“Ke Hemauk…burung jenuh sangat…petak atas habissss…dimakan babi semale…” Mak Teh merungut sedih.
“Aku ada bawak kelik pucuk leweh denge labu ni..? he nak ke..” Mak Teh bertanya kepada mak.
“Bak maghi la sikit…lauk takdak lasung male ni..” mak memberi tahu Mak Teh Lipah.
Di
hujung tangga, Pak Teh Mat Kawi sedang menyangkut jebak burung
ketitirnya. Kainnya digulung sehingga melepasi paras lutut. Dengan
badannya yang tidak berbaju itu aku dapat lihat dengan jelas
tompok-tompok panau yang memenuhi badannya. Mereka ini amat baik. Mak
selalu bertukar-tukar lauk atau makanan dengan Mak Teh Lipah.
“Ani…ohhh..Ani…” Mak Teh Lipah memanggil Kak Ani.
“Yaaa…mak” Kak Ani menjawab dari atas rumah.
“Ambit labu air denge taruk labu dale raga tu bak maghi sini” Mak Teh mengarahkan kepada Kak Ani.
Kak
Ani memberi raga yang berisi berbagai-bagai sayur itu kepada Mak Teh
Lipah. Pak Teh Mat Kawi duduk dimuka pintu sambil menjuntaikan kakinya
kebawah. Dia hanya memerhatikan Kak Ani dan MakTeh Lipah yang sedang
membahagi-bahagikan sayur-sayur kampung itu.
“Nah…ni he beghi kat Anjang…ni he beghi kat Pek Wak..” Mak Teh menerangkan kepada Kak Ani.
“Yati…ni he beghi kat Tok…ni he beghi kat Cu…” Mak Teh menerangkan pula pada Norhayati yang seusia aku.
Kedua-dua
beradik ini tanpa membantah berlalu pergi. Kak Ani mengambil jalan
pintas meredas bukit untuk kerumah aku dan Norhayati pula hilang di
sebalik pagar rumah Pek Wak. Adik ku Nasriah mengambil sayur-sayuran
yang diberi Kak Ani dan dibawa naik keatas rumah. Kak Ani menyusur
lorong kecil yang selalu aku gunakan untuk kekedai Pak Ngah Usop pergi
kerumah Tok Haman. Aku lihat Pek Tuli ibu tiri Mak Teh Lipah
berbual-bual dengan Kak Ani di halam rumah Tok Haman.
Hari
rasanya sudah petang benar. Mak mengemas-ngemas lesung dan bakul yang
telah berisi beras untuk dibawa naik kerumah. Abang telah lama balik
entah dari mana. Dengan gaya yang bersahaja, abang mengambil raga sabun
dan mengajak adik-adik ke sungai.
“Ani…ohhh..Ani..” mak memanggil Kak Ani.
“Ya….Anjang…” Kak Ani menyahut.
Aku lihat mak membungkus sesuatu.
“Nah..ambit ni…” mak memberikan bungkusan tersebut kepada Kak Ani.
“Terima kasih…Anjang…” Kak Ani menambah.
Kak
Ani berlalu pergi. Aku bersama-sama mak, Marzuki dan Zi berderet ke
sungai. Sesekali mak menggaru-garu tangannya, mungkin mak gatal di
sebabkan miang padi.
“Mak.?…mak.. beri apa tadi..” aku bertanya kepada mak.
“Kalu kita beri sedekah…kita tak baik beri tahu oghang..” mak berkata pada ku.
“Kalu tange kane beri…tange kiri tak buleh tahu…” mak menambah lagi.
Aku kebingungan. Aku tidak tahu apa yang mak maksudkan. Marzuki dan Zi juga kebingungan
“Mak sama-sama susah denge Mak Teh he…mak tahu..dia tak dak beras tu…” mak menjelaskan pada ku.
“Mace mana mak tahu…” aku bertanya kepada mak.
“Jomle…cepat sikit…hari dah berelop ni…” mak tidak menjawab sebaliknya minta aku cepat untuk ke sungai.
Aku
tambah kebingungan. Di sungai, ramai orang sedang mandi. Ayah Cu, Cik
At, Yong Muzi, Awang Li dan ramai lagi. Aku bersama-sama Zi dan Marzuki
mandi disebelah atas empangan. Kawasan ini airnya dalam separas dada
kami. Sementara orang-orang perempuan dan kanak-kanak kecil mandi
dibawah empangan. Kami bertiga mandi berbogel. Kami menyelam bermain
dan berenang di sekitar kolam empangan itu.
“Me….Awang…ha..jom kelik..” mak mengajak kami balik.
Aku
dan kawan-kawan yang lain berenang ketepi dan memakai seluar tanpa
mengelap badan yang sebenarnya tidak pernah kami menggunakan tuala
selepas mandi.
“Mek… deng dulu adik tu..” mak menyuruh Nasriah celupkan kepala adik-adik ke dalam air dan hidung ke atas.
Dengan
berbuat demikian, rambut akan lurus kebelakang seperti telah di sikat.
Nasriah dan abang mendukung adik-adik naik ketebing sungai. Fadzil yang
biasa dengan kelincahannya itu berlari mendaki bukit dan balik kerumah.
Aku, mak dan Fauziah masih di sunyai.
“Anjang….kami kelik dulu…kalu lambat nanti mak maghah…” Zi dan Marzuki memberi tahu mak.
Marzuki
dan Zi sering bersama-sama aku, selalu kami melakukan aktiviti bersama.
Hamidi dan Imo juga adalah antara kawan-kawan aku yang rapat. Tapi
rumah mereka jauh sedikit dari rumah aku.
“Poziah….bawak timba ni naik dulu….bio Cik tunggu mak…” mak menyuruh Fauziah balik dulu.
“Me…bak maghi tepurong tu kat mak…” mak minta tempurung yang berada di tebing sungai itu dari aku.
Aku mengambil terpurung tersebut dan diserahkan kepada mak.
“Air telaga ni…kalu tak timba rasa hanyir…”, mak memberi tahu ku.
“Mek Timah ? he buat apa tu…”, Cik At bertanya kepada mak.
“Aku nak ambil air….” Mak menjawab pendek.
“Bio aku buat…”, Cik At menambah.
“He cabut tin ni..lepas tu he tane di sana…dale air deras tu…” ,mak mengarahkan Cik At supaya mengubahnya.
Cik
At mencabut tin minyak masak yang berlubang atas dan bawah itu dan di
tanam semula di tempat yang mak tunjukkan tadi. Setelah semuanya
selesai, mak menimba air di dalam tin itu menggunakan tempurung. Air di
dalam telaga mini itu telah kering kesemunya, walau pun air sungai yang
mengalir diluar kawasan tin itu sangat banyak. Beberapa minit kemudian,
air didalam tin penuh semula. Airnya hening, jernih dan sejuk sekali.
Mak menceduk air ini perlahan-lahan dan dimasukan kedalam baldi. Air di
dalam baldi telah penuh. Ayah Cu dan Cik At mengangkat baldi besar itu
dan diletakan di atas kepala mak. Mak melapit kepalanya dengan kain
batik yang digulungkan. Aku kagum melihat kegigihan mak.
Apabila
sampai dirumah, azan sedang berkumandang dari surau. Abang telah
memasang pelita dan Nasriah pula sedang sebuk menyalakan api dapor. Mak
meletakkan baldi air di tepi tingkap kecil. Ayah belum balik lagi dari
Kasai. Fauziah yang telah siap memakaikan adik-adik sedang menutup
tingkap-tingkap. Berdentum-dentum bunyi tingkap bila ditarik dengan
kuat. Tingkap dianjung rumah adalah tingkap panjang yang sampai
kelantai. Tirai tingkap di pasang sebelah, bewarna merah dan kainnya
jarang. Dengan kedudukannya yang mengadap jalan dan kebetulan pula rumah
ku ini diatas bukit maka tahulah aku akan pergerakkan yang berlaku
disekelilingnya.
“Poziah…!!! Pelahe sikik tutok tikak tu..” , mak memarahi Fauziah dalam memujuk.
Fauziah
tidak menjawab, sebaliknya ia terus ke dapur menolong Nasriah memotong
bawang. Dari rumah Acik terdengar kuali ditumis. Aku termenung sendirian
di anjung rumah sambil kaki ku berjuntai ke ruang dapur. Suasana
kampung ku diwaktu senja begini amat indah. Keadaan menjadi sebuk tidak
menentu. Bermacam aktiviti singkat berlaku di waktu ini.
“Awang….gi kede Tok Yaek beli minyak gahh…” mak menyuruh abang membeli minyak tanah.
“Me…..gi tengok itik kita dikandang..?” mak menyuruh aku memeriksa itik di reban.
Aku
dan abang menuju ke pintu, sementara itu terdengar enjin kapcai ayah.
Ayah baru balik dari Kasai. Abang membuka kunci pintu, aku mengikuti
abang dari belakang menuruni anak tangga satu persatu.
“Hangpa nak pi mana ni…” ayah bertanya kepada kami.
“Nak gi beli minyak gahh…” abang menjawab.
Abang
berlari-lari anak ke kedai Tok Yid dan aku meninjau-ninjau kedalam
reban ayam, yang ada hanya ayam sahaja, sedangkan itik tidak kelihatan.
Aku menjadi cemas. Aku membuka daun pintu reban seluas-luasnya, setelah
memeriksa sekeliling, namun kawanan itik kami tidak juga kelihatan.
“Mak…ooooooomak….” aku memanggil mak.
“Takdok ka…?………….” mak menyahut dari atas rumah.
“Haaa….takdok la…mak…” aku memberitahu mak.
“Mek….masak nasi….” mak mengarahkan kepada Nasriah
“Mak denge Cik nak gi cari itik” mak menyambung lagi.
Azam
telah berkumandang. Remang senja kemerahan indah sekali. Aku mengikut
mak dari belakang. Kami dua beranak sudah faham benar dengan habitat
itik-itik kami tu. Kami telah sampai di tepi sawah Pek Aji Kiah.
“Mikao nak gi kemana tu…Timah…?” Pek Aji Kiah bertanya kepada mak.
“Itik tak kelik…tu ajak Me maghi turaok ni…” mak menjelaskan kepada Pek Aji Kiah.
“Haaaa…tadi ada aku napok di petak rumia tu…” Pek Aji Kiah memberi tahu mak.
“Di……!!!!dididididididi………” mak memanggil-manggil itik kami.
“Di…..!!!!dididididididi……….” mak memanggil lagi.
“Paak..paakpaakpaaakpaaak…” itik-itik kami berbunyi.
Aku
telah nampak itik-itik itu yang sedang berehat di bawah rimbunan
batang-batang keladi di tepi sawah. Tanpa mak menyuruh, aku pergi
menghalau itik-itik itu supaya pulang. Seperti sudah faham, itik-itik
itu berderet menyusuri lorong kecil yang selalu aku gunakan untuk ke
sungai dan pulang kerumah. Setelah itik-itik itu masuk ke reban, mak
menutup pintu reban. Hari sudah gelap benar. Semasa kami melintasi rumah
Acik tadi, aku terdengar Pak Cik baru selesai memberi salam. Pak Cik
dan Acik baru habis menunaikan solat magrib.
Itulah
gambaran ringkas mengenai kehidupan di kampung ku yang terletak nun
jauh di pedalaman Negeri Perak Darul Ridzuan. Kepada pembaca budiman,
saudara dan saudari tentu ada pengalaman sendiri didalam kehidupan ini.
Tetapi disini, aku ingin berkongsi kehidupanku sebagai budak kampung
yang hidup serba daif dalam kemiskinan. Kemiskinan juga menjadi pusaka
turun temurun yang perlu dihapuskan dan tidak perlu diwarisi lagi kepada
generasi hari ini, kemiskinan juga telah membuatkan kita tercicir dari
arus pendidikan Perdana dan kita ketinggalan dalam apa bidang juga di
Negara Merdeka bumi bertuah ini.
Namaku
Lukhman bin Hj. Mahmud, aku diputrakan pada 20hb. May 1961 di sebuah
kampung yang jauh di pedalaman Negeri Perak. Kampung ini terletak di
seberang Sungai Perak. Pekan yang paling hampir ialah Pekan Lenggong.
Dari pekan ini saudara perlu menaiki teksi sapu lebih kurang 4
kilometer untuk anda sampai di tebing Sungai Perak. Di sini saudara akan
temui sebuah kampung yang namakan Kampung Labit.
Dari
Kg. Labit saudara boleh mendapatkan bot penambang yang menjadi nadi
perhubungan dengan Kg. Chepor. Iaitu Kampung kelahiran aku. Dalam Kg.
Chepor ini terdapat kampung-kampung kecil yang lain, seperti Kg. Paya,
Kg. Bagan, Kg. Tengah atau Kg. Hangus, Kg. Taykok, Kg.Bukit Belapit, Kg.
Hulu, Kg. Seberang, Kg. Cherok Sembok, Kg. Kasai dan Kg. Hemok. Kg.
Kasai adalah yang sebenarnya kampung kelahiran ku. Kg. Kasai terletak
lima kilometer selepas saudara turun bot penambang di Kg. Paya. Dengan
itu aku akan ceritakan kepada saudara-saudara dari mana semua ini
bermula dan marilah sama-sama kita menyelami penderitaan, kepayahan,
kesengsaraan dan keperitan. Sama-samalah kita mencari kenangan yang
hilang.
Arwah
ibu aku sering menceritakan pada ku keperitan penghidupan sengsara
kemiskinan yang diwariskan turun-temurun ini. Datuk aku bernama Ismail
bin Lisah. Ibu ku mempunyai empat adik-beradik. Yang tua adalah Wa aku
bernama Hamah bt. Ismail, yang lebih dikenali dengan Mek Hamah, yang
kedua ialah ibu ku Fatimah bt. Ismail yang dikenali dengan panggilan Mek
Timah, Timah, Mek dan Anjang. Yang ketiga ialah Pakcik aku, Hj. Zainal
Abiddin bin Ismail yang lebih sinonim dengan panggilan Awang Kote dan
yang akhir ialah Acu ku yang bernama Sabariah bt. Ismail lebih dikenali
dengan panggilan Saba.
Tok
Mail mempunyai hampir 20 ekar tanah yang yang rata-rata ditanam dengan
getah dan padi. Pada peringkal awal, tok telah membahagi-bahagikan
beberapa ekar tanah kepada anak-anaknya. Ibuku dibagikan satu ekar tanah
sawah untuk diusahakan oleh ibu dan ayah ku. Tanah ini terletak di Kg.
Kasai. Pada tahun 1960 ayah telah mendirikan dangau di tepi sawah ini.
Ibu dan ayah sering berulang-alik dari rumah kami di Kg. Hulu Chepor ke
Kg. Kasai.
“Timah....padi kita sedang mendapor kecik...aku rasa baik kita pindah ke Kasai” tiba-tiba ayah bersuara.
“Heh...dah beri tahu Pak ka?” emak bertanya balas.
“Belum lagi...” ayah menambah.
“Kalu pak beri, kita pindah laaa....” mak bersuara lagi
“Babi, ciak banyak di Kasai tu...” ayah membalas.
“Hoh....ikut suka ayah Awang laaa...” mak menambah lagi.
Angin
kemarau bertiup lembut. Sawah yang dibuat semusim sekali ini
sememangnya mengikut peredaran alam semula jadi. Jika hampir musim
menuai suasana cuaca adalah panas dan berangin. Emak lebih banyak
menurut kata ayah. Jam hampir lapan malam. Ayah meninggalkan mak dan
abang, sambil mencapai lampu suluh yang tergantung di tiang seri, ayah
memberi tahu dia hendak ke rumah Pakcik yang berselang dengan rumah Ki
dan rumah Tok Mail.
“Timah...ooooo Timah..” Acik memanggil ibu ku.
“Yaaaa.....”emak menjawab.
“Haaa maghi sat...bawak awang tu...” acik menyuruh mak membawa abang ke rumahnya.
Dengan
perutnya yang memboyot mengandungkan aku, anak kedua, mak mendukung
abang ku yang berusia tiga tahun. Acik menyuluh dengan pelita minyak
tanah dari tingkap bilik rumahnya. Mak menutup pintu dan menuruni satu
persatu anak-anak tangga yang dibuat dari kayu hutan. Acik membuka pintu
dapor.
“Assalamualaitummm.....” emak memberi salam dalam mendidik abang ku digendungannya
“Mualaikumcalammm.....” Acik menyambut salam dan terus mencapai abang dari dukungan mak.
Pakcik
dan Acik amat sayang pada abang. Diciumnya abang bertubi kali sambil
mendukung anak saudara kesayangannya itu ke ruang dapur. Mak
termengah-mengah keletihan.
“Adohhhh....budak ni menendang-nendang pulak...” mak merungut kecil sambil meraba-raba perutnya.
“Berapa dan Timah..?”Acik mengajukan soalan kepada mak.
“Dah tujuh..” mak menjawab ringkas.
Dalam
pada itu, abang telah berada di ribaan Pakcik. Abang ketawa
terkekeh-kekeh bila Pakcik menggeletiknya. Ayah bermuka selamba sambil
menghisap paip, dihadapan ayah telah terhidang air milo dalam cawan
buatan cina berbunga pokok kelapa biru. Ayah menghirup milo panas itu
perlahan-lahan.
Biji
halkum ayah naik dan turun bila ayah meneguk air milo itu. Dengan pintu
yang ternganga luas itu jelas kelihatan rumah Acu dan rumah Ki. Cahaya
bulan terang benderang. Ini menandakan hujan tidak akan turun dan
kemarau memanjang. Sesekali terdemgar Tok Wan aku terbatu-batuk kecil.
“Ehhh....malahh nak motong esauk...” Acik merungut.
“Haa....kalu malahh nak kekebun, esauk kita ke Kasai...” Pakcik mengusulkan.
“Haaalaaa...padi dah mendapoo kecil tu..?” Acik menjawab.
Pakcik
masih leka bermain dengan abang. Sesekali abang berpindah keribaan ayah
dan sesekali keribaan Acik. Ayah berbual-bual biasa dengan Pakcik
berkisarkan tentang padi di Kasai. Abang berbaring diribaan Acik sambil
itu, Acik membelek-belek jari tangan abang.
“Cut-cut melukut, melukut bawah cupak.....mana tikoh menyusup-menyusup bawah ketiak”
Acik menggeletek ketiak abang. Maka terkekeh-kekehlah abang ketawa.
Wajah anak kecil itu ditenungnya sambil, diusapnya kepala abang dan
diciumnya lagi. Pakcik dan Acik telah lama berkahwin, tetapi tidak
dikurniakan zuriat. Sebab itulah abang menjadi anak saudara kesayangan
mereka.
“Aku ingat nak pindah ke Kase...” Ayah bersuara memecah kesunyian.
“Nak pindah ke Kase kaa...” Acik bertanya pada ibu ku
“Tak tahu pulak Na....aku ni ikut sajo...” Emak melepaskan keluhannya.
“Kalu mike pindah..aku pun rasa nak pindah jugak...” Pakcik seperti bersetuju dengan pandangan ayah.
“Haaa kalu macetu.. kita pebaikla dangau di Kase tu “ Acik memberi cadangan kepada Pakcik.
“Timah takut Pak tak bagi..” Ayah cuba mencari simpati Pakcik.
“Takpo..esauk aku beri tahu Pak..lagipung padi dah mendapor kecik tu “ Pakcik memberi keyakinan pada ayah.
Hari
dah jauh malam...bunyi cengkerik dan ungka bersahut-sahutan memecah
malam yang sunyi damai itu. Abang telah terlena di pangkuan Acik.
“Heh...jong kita kelik...” Mak mangajak ayah balik.
“Haa jom....” Ayah menjawab pendek.
“Bawak Awang tu...” Emak minta ayah mendukung abang.
Dengan
muka selamba ayah mendapatkan lampu suluhnya dan berlalu pergi menuruni
tangga dapur rumah Pakcik. Emak terkulai-kulai melihat ayah yang
menunggu di halaman rumah Pakcik sambil menyuluh ke arah rumah Tok. Emak
tahu benar perangai ayah. Ayah memang susah untuk menbuat kerja-kerja
yang bagi pendapatnya kalau kerja itu kerja orang perempuan.
“Haa takpola biar aku yang dukung..” Acik seakan memujuk ibu ku.
“Aku tak larat Na oiii...Awang ni atak benor selepas aku mengandung pulak ni..” Emak merungut pada Acik.
“Haaalaa...aku pong napak Awang ni berisi sikit...” Acik merenung ke arah ibuku.
“Haaa..ayah Awang beli minyak sapi suruh aku gao dale nasik...lepas tu napak berisi tu..” Mak menjelaskan.
Ayah
mengekori Mak dan Acik sambil menyuluh jalan ke arah rumah ku, Pakcik
tercegat berdiri di tingkap dapor rumahnya. Ayah masih lagi berdiri
antara rumah Tok dan rumah Pakcik. Acik membasuh kaki di hujung tangga.
Air dari dalam tempayan itu diceduknya perlahan-lahan. Pakcik masih lagi
setia menunggu Acik di muka tingkap. Setelah selesai, Pakcik menutup
tingkap dan pintu. Ayah telah lama melabuhkan kepalanya dibantal besar
bersulam benang emas, bantal persiapan perkahwinan mak dan ayah dulu.