MELAYU YANG TELAH HILANG KEMELAYUANNYA
Tak
Akan Melayu Hilang Di Dunia. Tidakkah anda bersemangat mengingati
kata-kata Panglima Hang Tuah ini? Tujuan saya bermula dengan kata-kata
keramat ini adalah untuk mengajak anda memikirkan ke manakah hilangnya
melayu kita. Beberapa bulan yang lalu sebelum saya mengarang buku ini,
saya telah bertanyakan kepada anak sulung saya, Qhairul Al-Haffiz yang
kini menuntut di Kolej Profesional MARA Indera Mahkota, Kuantan, Pahang
yang sungguh makmur dengan hasil peninggalan nenek moyang yang kini
terpaksa berkongsi dengan orang lain.
“Abang!!!!……..abang bangsa apa?”
“Melayu….” jawabnya selamba.
“Dimana terletaknya melayu abang?” saya bertanya lagi.
“Apit menggunakan bahasa melayu, makan cara melayu dan mengamalkan budaya melayu” tambahnya.
Saya tersenyum mendengar jawapanya itu.
“Kalau begitu, kenapa abang pakai seluar Levi’s dan baju T berimejkan Amerika” saya menambah. Anak saya terkedu dan terdiam, isteri saya hanya tersenyum.
“Abang!!!!…..jom pi Banting. Kita pakai baju melayu dan menyisip keris di pinggang, mau tak?”, saya bertanya lagi.
“Tak mau Pak. Nanti orang kata kita gila”.
Saya terdiam. Dalam hati ku berkata. Kenapakah boleh jadi begini. Saya
sering bertemu dengan pemuda-pemuda melayu yang tiada melayunya lagi.
Sebahagian besarnya memakai subang dan bertindik. Rambut yang panjang
diikat dan diwarnakan. Apakah ini orang melayu? Di manakah perginya
jati diri kita. Kenapakah meniru cara kehidupan barat dan budaya kuning
itu dan kita tidak takut dan tidak malu pula.
Saya
termenung sendirian dan mengambil buku riwayat hidup Syeikh Muhammad
Arsyad Al Banjari, seorang ulama nusantara yang terkenal dengan kitab
SABILAL MUHTADIN yang menjadi pusaka peninggalan yang amat berharga
kepada seluruh ummat Melayu yang berugama Islam dan berlalu ke ruang
tamu. Saya melabuhkan punggung di kerusi antik kesukaan isteriku yang
disepahkan oleh kanak-kanak yang datang mengaji Al- Quran dan Mukkaddam
dengan orang tua ku pada setiap malam.
Sebagai benteng terakhir Kampung Tradisional Melayu di nusantara ini
saya berusaha untuk menghasilkan buku ini, walaupun saya bukannya
seorang penulis. Buku ini saya tuliskan untuk kenang-kenangan penduduk
Kampung Chepor, Lenggong, Perak dan untuk anak-anak saya. Qhairul
Al-Haffiz, Qhairul Abd Al-Mattin, Noor Qhadrunnadia, Qhairul Al-Rafsyan
Jani, Noor Qhadrun Idayu, Noor Qhadrunika Irdina dan Noor
Qhadrunifanajwa.
Apa
yang saya paparkan di sini adalah betapa tertibnya adat Melayu sebagai
panduan dan rujukan sekiranya semua orang melayu sudah tidak melayu
lagi. Kalau direnung dan dikaji, semua aktiviti harian kampung dan
budaya melayu adalah pengajaran dan pendidikan. Hampir semua adat dan
budayanya boleh digunakan tanpa sempadan bangsa dan agama.
Apa
yang saya paparkan di sini adalah kenangan, keluhan, rintihan dan
igauan semalam yang ku pahat dalam ingatan untuk dikongsi dengan semua
keluarga yang ada dan pembaca yang budiman bahawa tanah dan adat adalah
kuasa kita. Apabila kita tidak bertanah lagi…maka hilanglah Melayu kita.
Apabila kita tidak berkampung…..maka hilanglah adat kita. Apabila kita
berjauhan dari keluarga….rapatkannya kembali.
Yang
ditunggu diribakan….yang dijemput dikendungkan….yang jauh
dirindu-rindukan…..yang telah hilang dicarikan…..sakit demam di rasa
bersama….susah senang berkongsi kita…pahit maung di jamah jua…hati kuman
sama dilapah, hati gajah sama dicecah. Yang jauh di dekatkan dan yang
dekat di rapatkan.
Marilah
bersama-sama dengan ku. Akan ku ceritakan pada mu kekasih, dari mana
kita bermula dan di mana kita berakhir. Barang yang hilang bolih
diganti, dahan yang patah bertunas kembali. Tetapi kalau kenangan yang
hilang………………!!!!!!!!!!!!!!!
No comments:
Post a Comment