BERKELANA KE SELANGOR
Catatan Perjalananku........,
Catatan Musafir |
Tetiba isteriku mengajak aku ke Banting, katanya sayur dah habis. Aku masih bengang dengan komputer ribaku yang rosak dah hampir seminggu, dah tak dapat di gunakan langsung. Semalam selepas zohor aku minta anakku Nadia yang kebetulan tiada kuliah di UKM dan dia pulang kerumah, aku minta dia buatkan aku satu blog baru untuk aku selain dari blog AMUKANMELAYU dan hasilnya di buatnyalah untuk aku Blog yang di beri nama CATATAN MUSAFIR Olak Lempit hentian terakhir.
Selepas asar aku coretkan sedikit perjalanan hidupku BERKELANA KE SELANGOR. Banyaklah juga yang aku coretkan, pagi tadi, semasa aku hendak masukkan gambar, tetiba gambarnya bergoyang-goyang dan kedudukan gambar berubah sendiri. Aku cuba membetulkannya. Selepas itu ianya terpadam dan hilang terus dari scren komputer meja yang Haffiz linkkan dengan komputer riba. Jadi hebat jugalah aku ni.....guna dua unit kumputer dalam satu masa. Rupanya komputer riba tu bertindak sebagai cpu. Komputer meja CPU yang rosak dan komputer riba, scren yang rosak. Ada aku kesah.....asalkan di campur keduanya aku masih boleh menulis dan berkarya.
Sementara isteriku mandi, aku pakaikan kasut kepada dua orang cucu-cucuku. Iman Al-Farris macam peluru nakalnya, berusia dua tahun sementara Aisyah Ivan Firnas sembilan bulan. Nakalnya bolehlah tahan. Budak-budak....bila dah semuanya siap....nak keluarlah. Aku mendukung Aisyah, Iman berjalan di hadapanku keluar dari rumah. Aku campakkan saja cucu-cucuku itu kedalam kereta. Mengekek-ngekek ketawanya bila dah di pasangkan aircon. Aku nampak isteriku berlari-lari anak dari dapor dengan dua botol susu.
Disinilah kali terakhir Aku melihat "Boboy" |
Aku, tidak mengambil masa yang lama untuk keluar dari pagar rumah. aku melewati Tanah Pusara Olak Lempit. Aku berhenti seketika di pusara menziarahi Al-Marhum Qhairul Al-Rafsyanjani. Pusara bersih dan terjaga. Aku meninggalkan kawasan pusara sepuluh minit selepas itu. Jam 09:50 aku singgah di Bank Islam Banting. Adoiyai.....Pak Guard sedang masukkan duit ke dalam mesin autoteller. Di kuncinya pintu utama dengan rotan semambu. Terkilas aku dengan peristiwa Pak Guard yang menembak Kerani bank beberapa bulan yang lalu di USJ. Dalam hatiku berkata, "Boleh percaya ke Pak Guard ni".
Dari dalam Bank aku nampak ada pintu sisi yang di buka untuk yang berurusan dengan kaunter. Selesai urusan di Bank, aku mencari-cari parking di kawasan Econsave, sekali pusing aku dapat parking. Orang tidaklah ramai. Isteriku sedang memilih-milih sayur. Ikan ada lagi katanya.
Sampai di rumah dah jam 11: 15 pagi. Dengan sebatang rokok Suria, Made In Indonesia aku melepaskan asap perlahan-lahan.....tiba-tiba aku terdengar Ibu Mertuaku batuk-batuk, aku masuk ke dalam rumah. Ibu mertuaku sedang muntah, aku menjeritkan pada isteriku yang berada di dapor dengan bibitnya. Isteriku berlari ke ruang tamu dengan membawa tisu.
Ibu mertuaku nampak uzur sangat. Bila muntah begini nampak letihnya. Aku memicit-micit tubuhnya dan tidaklah hangat atau kata mudah tidaklah demam. Mungkin angin....tadi katanya dia makan sebiji anggur. Aku berlalu ke meja tulisku. Membuka komputer dan aku menulis....aku bercerita dengan diriku. Aku bercerita dengan deritaku....aku bercerita dengan alamku....aku hanyalah musafir di dunia ini.
Aku masih ingat bagaimana aku tersadai disini, di Olak Lempit ini, di Banting ini. Masih ternampak surat arahan dari Ibu Pejabat Malaysia Airport yang di hantar padaku. Araham perpindahan ke Sepang. dengan jelas aku masih nampak, anda di arahkan untuk melapor diri di Pejabat Sementara Malaysia Airport di Concode Inn Sepang pada 26hb. Jun 1997. Perasaan bercampur-baur di waktu itu. Anak-anak masih kecil. Haffiz di Sek. Men. Keb. Jitra, Kedah. Mattin masih di Sek, Ren. Keb. Kepala Batas, Alor Setar. Nadia masih darjah dua di sekolah yang sama, Qhairul Al-Rafsyanjani masih belum sekolah dan begitu juga dengan Idayu yang baru berusia dua tahun.
Dengan dua orang Isteri dan empar orang anak, aku hanya berserah pada Allah. Dengan menunggang motor aku minta kebenaran Pegawai bertugas untuk aku balik sebentar kerumah. Rumahku tidaklah jauh dari Lapangan Terbang Sultan Abd Halim Alor Star. Kebetulan Isteri Pertamaku tidak bekerja hari ini. Aku sampaikan padanya arahan yang di keluarkan oleh Ibu Pejabat MAB. Isteriku terkedu dan berlalu ke dapor. Dari dapor aku terdengar esakan tangisanya.
Aku kembali semual ke pejabat dan menghubungi Isteri keduku yang kebetulan tinggal bersama kedua Ibubapaku di Sg. Limau Dalam Yan Kedah. Sebagai kerani sekolah, nampaknya dia tidak kisah semua ini.
Rumah lama Ayah dan Ibu di sg. Limau |
Habis kerja aku terus pulang kerumah Ibubapaku. Ibuku baru pulang dari sawah dan sedang membasuh kakinya di bilik air yang mengadap sawah, sementara Ayah baru pulang dari laut. Motorsikalnya baru di matikan enginnya. ayah bertanya mana isteri anak-anakku. Aku hanya terdiam. Aku masih di pintu belakang di tepi bilik mandi dimana ibuku sedang membasuh kaki. Kebiruan Gunung Jerai jelas kelihatan dari sini. Padi sedang menghijau sedang berbunga. Sesekali terdengar yang aku kenal itu adalah bunyi ikan haruan menyambar makanan. Ibuku masih menyental dan menggosok-gosok kakinya.
Selesai makan tengah hari dengan ikan senagin masak lemak dan sotong katak yang di goreng kicap. Aku makan dan sambil menyuap anakku Idayu yang sangat cantik dengan sanggul dua. Tadi dia ikut Ibuku kesawah di tepi rumah. Nampak kulitnya yang puteh kuning tu kemerahan di sambar matahari. dengan penuh hormat aku minta Ibu dan Ayah menjaga anak dan Isteriku sementara waktu dalam tempuh aku ke Sepang nanti. Mungkin beberapa bulan aku akan sendirian di sana.
Selepas aku uruskan semuanya nanti barulah aku akan uruskan pertukaran kedua-dua orang isteriku kesana, Aku memberi penerangan kepada Ibu da Ayah. Isteriku masih belum pulang dari sekolah. kata ibuku dia akan pulang selepas jam lima petang. Kadang-kadang dia akan pulang tengahari untuk menghantar lauk, tapi jika sebuk dia akan beritahu ibuku yang dia tidak akan pulang pada tengahari.
Jam limasetengah petang aku terdengar motorsikal isteriku. Dia memberi salam dan meluru padaku dan bersalam sambil mencium tanganku. Nampak wajahnya kusut dan tak berapa ceria. Dia bertanya bila akan lapor diri. Aku hanya tersenyum.
Nanti 23hb. Jun aku akan ke Sepang. Tiket penerbangan dah di tempah. Masih ada seminggu, aku lihat airmata isteriku berlinangan di pipinya. Besuk pagi aku menghantar isteriku ke sekolah. Jauh di tengah sawah. Sekolah Kebangsaan Sg. Kering adalah sekolah Luar Bandar. Aku sumbangkan karpet di Pejabat Sekolah dan bilik guru. Semasa aku datang menjemput Isterikunsuatu ketika, pernah aku melihat kambing yang tidur di atas tangga sekolah.
Sebelah petang setelah dua hari aku bersama di Sg. Limau, aku balek ke Alor Setar dengan sebiji beg kecil pakaianku. Kataku pada isteri....mungkin nanti dah tak balek lagi. Cuma tinggal empat hari lagi untuk berlepas ke Sepang.
Pada 23hb. Jun jam 1015 pagi aku berlepas dengan Pesawat Mas.....dengan kebenaran, anak-anaku dan isteri di benarkan masuk ke bilik perlepasan. Aku berpelukan dengan anak-anaku kecuali Idayu. Aku melangkah keluar dari bilik perlepasan dengan rasa sugul. Semasa aku menaiki tanggga pesawat lambaian tangan anak-anakku masih terbayang di ruang mata. Pesawat meninggalkan landasan sedikit demi sedikit sehingga Lapangan Terbang Sultan Abd. Halim hilang di lindungi awan. Selamat tinggal BUAH HATIKU,,,........
No comments:
Post a Comment